Arab Saudi sedia jadi tuan rumah ibadat haji

Arab Saudi sedia jadi tuan rumah ibadat haji

Dunia | Arab Saudi kini dalam proses persiapan sebagai tuan rumah bagi ibadat haji yang dijangka bermula Rabu ini dalam keadaan dunia masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10,000 penduduk Makkah akan mengerjakan ibadat itu tahun ini, berbanding 2.5 juta jemaah yang melaksanakannya tahun lalu.

Media antarabangsa tidak dibenar membuat liputan apabila kerajaan memperketatkan kemasukan dan kawalan di Tanah Suci bagi mengelak penularan Covid-19 sepanjang lima hari yang diperuntukkan untuk mengerjakan ibadat berkenaan.

Memetik laporan AFP, jemaah yang bakal melaksanakan ibadat haji tahun ini mula masuk ke Tanah Suci sejak hujung minggu dengan memakai pelitup muka, selain dipantau melalui sesi imbasan suhu dan perlu menjalani kuarantin.

Menurut dokumen program Kementerian Haji dan Umrah, setiap jemaah dibekalkan dengan kit bagi memudahkan proses ibadat haji, termasuk batu yang disteril bagi ibadat melontar, pembasmi kuman, pelitup muka, sejadah dan kain ihram.

Jemaah juga diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum tiba di Makkah dan perlu menjalani kuarantin selepas selesai ibadat.

Pihak kementerian turut menyediakan beberapa fasiliti kesihatan, klinik bergerak dan perkhidmatan ambulans yang akan turut bertindak sebagai pemantau bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Sebelum ini, pihak berkuasa Arab Saudi berkata, cuma 1,000 jemaah iaitu dalam kalangan penduduk negara itu dibenarkan mengerjakan haji tahun ini.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 10,000 orang dibenarkan melaksanakan ibadat itu.

Menteri Haji dan Umrahnya, Dr Mohammed Saleh Taher Benten berkata proses pemilihan jemaah dibuat secara telus dengan tahap kesihatan menjadi kriteria utama.

Katanya, kira-kira 70 peratus jemaah haji terdiri daripada warga asing yang bermastautin di negara itu.

Setakat ini Arab Saudi merekodkan lebih 260,000 kes Covid-19.