Bicara kes dana SRC RM27 juta tahun depan

Bicara kes dana SRC RM27 juta tahun depan

Mahkamah | Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) ditetapkan bermula 5 Julai tahun depan.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan pada 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai selepas selesai pengurusan kes hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 11 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib akan mengendalikan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah.

Pada 3 Februari tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen tetapi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 selepas mendapat permohonan dari pihak pendakwaan.

Najib juga dibicara atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC RM42 juta.

Bagi kes membabitkan RM42 juta itu keputusannya akan diketahui esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.