Guan Eng akui cadang Shafie calon PM, dengan sokongan Mat Sabu

Guan Eng akui cadang Shafie calon PM, dengan sokongan Mat Sabu

Wan Faizal Ismayatim

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengakui beliau dengan sokongan Presiden parti Amanah, Mohamad Sabu telah mencadangkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu memaklumkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) terbabit dijadikan calon ketiga untuk meleraikan kebuntuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata mereka, perkara itu dicadangkan dalam mesyuarat tidak rasmi pemimpin Amanah, DAP, Warisan serta kumpulan Dr Mahathir bagi mencari jalan keluar berkaitan isu calon Perdana Menteri di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur, 25 Jun lalu.

“Dr Mahathir dengan senang hati bersetuju terhadap cadangan menjadikan Shafie calon Perdana Menteri dalam masa dua minit sahaja selepas ia diajukan oleh Amanah dan DAP.

“Tun Dr Mahathir menegaskan ia bukan soal sama ada beliau kembali menjadi Perdana Menteri, tetapi soal menyelamatkan negara dan memulihkan mandat rakyat,” katanya.

Guan Eng dan Mohamad berkata selain mengurangkan rasa tidak senang PKR terhadap Dr Mahathir, Mohd Shafie akan jadi pilihan bersejarah sebagai pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak yang dicadang sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya pemimpin Amanah dan DAP yang hadir mesyuarat itu, kemudian memaklumkan Dr Mahathir dan mereka yang lain bahawa pilihan baharu itu perlu dibawa kembali untuk perbincangan bersama pimpinan parti masing-masing sebelum dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kami menegaskan bahawa bilangan 109 Ahli Parlimen perlu menjadi asas untuk memulihkan kerajaan, bukan perkumpulan setakat 91 Ahli Parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Tun dalam Bersatu, atau hanya 71 Ahli Parlimen tanpa PKR.

“Amanah dan DAP berkongsi perasaan kecewa rakyat Malaysia bahawa walaupun dengan 109 kerusi di Parlimen menentang Perikatan Nasional (PN) dan walaupun ditawarkan jawatan menteri dan GLC, kita masih gagal menuntut semula mandat.

“Kami tidak bersetuju dengan idea PH boleh berunding dengan sesiapa sahaja berbekal 91 kerusi, dengan mengesampingkan kumpulan Dr Mahathir dan Warisan,” katanya.

Kenyataan bersama itu menyebut kedua-dua pemimpin tidak setuju dengan idea bahawa perubahan boleh berlaku dengan hanya 71 Ahli Parlimen, tanpa penglibatan 38 Ahli Parlimen PKR.

“Kami berpendapat bahawa sama ada Anwar atau Shafie, dengan berbekalkan 109 Ahli Parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka untuk mencukupkan angka 112 Ahli Parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai Perdana Menteri.

“Ada yang menyebut memandangkan pembangkang tidak dapat menyelesaikan persoalan calon Perdana Menteri, kita patut terus kekal sebagai pembangkang dan menunggu pilihan raya seterusnya.

“Kami tidak berpendapat begitu. Sebarang formula untuk menang dalam PRU seterusnya secara sendirian sebagai PH atau tanpa PH adalah formula yang sukar,” katanya.

Menurut mereka hanya PH Plus yang melibatkan PH, Warisan dan kumpulan Tun merupakan kombinasi boleh menang dalam PRU akan datang.

Kekuatan bersama itu, katanya, mesti menjadi premis asas, bukannya perkumpulan pembangkang yang berpecah-belah dan lemah.

“Malahan, pilihan untuk berputus asa daripada menuntut semula kuasa kerajaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan pengkhianatan terhadap pilihan rakyat pada 9 Mei 2018.

“Dengan tidak mencuba untuk menuntut kembali mandat itu secepat mungkin, kita hanya mengabsahkan Langkah Sheraton, sebuah kerajaan tanpa mandat, kesemua dasar-dasarnya yang tidak demokratik dan paling penting sekali, ketiadaan iltizam politik untuk membanteras rasuah dan memupuk ketelusan dalam urus tadbir. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Jalan ke depan ialah dengan memberi peluang pertama kepada Datuk Seri Anwar dan sekiranya beliau gagal, Datuk Seri Shafie wajar diberi peluang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 Ahli Parlimen,” katanya.

Pada masa sama, kata mereka, 109 Ahli Parlimen dan kelima-lima parti PH Plus iaitu Amanah, DAP, PKR, Warisan dan kem Dr Mahathir harus memastikan hubungan kerjasama erat untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang berkesan.

Antaranya untuk membina harapan dalam detik sukar ketika krisis politik, ekonomi, dan Covid-19; membina keyakinan dan perpaduan nasional rakyat ketika berdepan sentimen perpecahan PN.

Selain itu mendedahkan salah guna kuasa dan skandal seperti 1MDB dan menjuarai tadbir urus berintegriti; memperkukuh keselamatan ekonomi dan solidariti ekonomi bersama rakyat menghadapi krisis ekonomi paling getir dalam beberapa generasi, dicetuskan Covid-19;

Menawarkan cadangan dan dasar alternatif bertunjungkan pengalaman, kepakaran dan kebolehan yang diperolehi PH semasa menerajui pemerintahan.