Ingkar arahan kuarantin, warga emas dikompaun RM1,000

Ingkar arahan kuarantin, warga emas dikompaun RM1,000

Muhammad Mustakim Ramli

Seorang warga emas dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan kuarantin di rumah di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin, berkata lelaki berusia 66 tahun itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, pihaknya menerima rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan lelaki memakai gelang merah jambu dipercayai tag kuarantin Covid-19 duduk di lobi kondominium pada 3 petang, semalam.

“Sepasukan polis ke lokasi untuk tindakan lanjut. Siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku pada 23 Julai lalu.

“Hasil semakan lelaki itu pulang dari Singapura pada 12 Julai lalu dan diberi arahan kuarantin di rumah selama 14 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 25 Julai.

“Lelaki itu memberitahu dia hanya keluar rumah turun ke lobi untuk mengambil surat di peti surat sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, ia adalah kes keempat dikenakan tindakan kompaun di daerah Brickfields dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, polis tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang ingkar dan tidak patuh arahan PKPP serta tindakan undang-undang akan diambil.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dengan menghubungi talian hotline 03-22979222.