Islam ditegakkan oleh pelarian, kata Mat Sabu

Islam ditegakkan oleh pelarian, kata Mat Sabu

Presiden parti Amanah, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak supaya jangan melupakan sejarah ketika sentimen terhadap warga asing terutama pelarian sedang ‘panas’ ketika ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu mendakwa Islam ditegakkan pelarian, di mana Nabi Muhammad menjadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah.

“Jangan kita lupa sejarah. Kita jangan lupa Islam itu ditegakkan para pelarian, khasnya Nabi Muhammad, yang jadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu memberi contoh Nabi Muhammad melarikan diri kerana hidup baginda terancam, selain menyebut Jaafar Abi Talib, yang memimpin sekumpulan umat Islam yang dianiaya keluar dari Makkah ke Ethiopia, untuk berlindung di kerajaan Kristian Aksum.

“Ada perkataan-perkataan buruk dikatakan (terhadap pelarian), ancam nyawa mereka.

“(Ketika mereka) datang ke sini, ada yang kata biar kita tenggelamkan mereka (di laut). Bayangkan itu berlaku kepada keluarga nabi,” katanya.

Beliau berkata, pelarian tidak seharusnya digambar secara buruk dan kategori pelarian seperti pencari suaka perlu dibezakan.

Mohamad turut memberi contoh, warga Rohingya yang melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka, sekurang-kurangnya harus diberi tempat tinggal sementara.

“Kerajaan seharusnya memburu sindiket dan ahli perniagaan yang mendapat keuntungan dari memperdagangkan pendatang dan pelarian,” katanya.