Isu calon PM PH Plus, ini penjelasan Amanah, DAP

Isu calon PM PH Plus, ini penjelasan Amanah, DAP

Parti Amanah dan DAP hari ini memberi penjelasan panjang lebar mengenai kebuntuan mencari calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya, dalam usaha mendapat semula mandat selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi kenyataan bersama menjelaskan sejak Langkah Sheraton, kedua-dua parti berusaha memulihkan mandat rakyat dan menjadi jambatan bagi kelima-lima parti pembangkang membentuk PH Plus.

Kedua-dua pemimpin menyatakan Amanah dan Bersatu dipandu prinsip-prinsip asas antaranya setiakawan semua pasukan dan parti anti-Perikatan Nasional, diwakili 109 Ahli Parlimen yang menentang pertukaran Speaker Dewan Rakyat secara tidak demokratik.

Selain itu, persoalan mengenai siapa akan jadi Perdana Menteri tidak wajar menjadi halangan dalam usaha memulihkan mandat rakyat.

“Pilihan untuk terus kekal menjadi pembangkang hanya kerana kita gagal berkompromi untuk jawatan Perdana Menteri adalah tidak boleh diterima.

“Kegagalan untuk mencapai kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri menunjukkan bahawa obsesi terhadap jawatan itu lebih penting berbanding mandat pilihan raya rakyat Malaysia pada tahun 2018,” menurut kenyataan itu.

Sebagai rekod, menurut mereka, Amanah dan DAP memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada 26 Februari.

“Pada 28 dan 29 Februari, PKR, Amanah dan DAP kembali mewujudkan semula gabungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri bagi menghalang tertubuhnya kerajaan bukan pilihan rakyat.

“Antara Mac dan Mei 2020, Amanah dan DAP sepenuh hati mengajukan supaya gabungan besar yang menang dalam PRU 2018 dibina semula iaitu PKR, DAP, Amanah, Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu.

“Pada 30 Mei, selepas kebuntuan yang berlanjutan, Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk mempertimbangkan dua pilihan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu selanjutnya menyebut pilihan pertama – Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Diikuti pilihan kedua, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan peralihan kuasa dalam tempoh enam bulan.

“Beberapa sesi rundingan dijalankan sehingga PKR secara rasminya menolak pilihan kedua pada 19 Jun,” katanya.