Kerajaan PN tak hapus Akta Hasutan

Kerajaan PN tak hapus Akta Hasutan

Parlimen | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan menghapuskan Akta Hasutan 1948 berikutan penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan berleluasa kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan berpandangan akta itu masih relevan, mengambil kira struktur masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Gobind Singh Deo (PH-Puchong) hari ini.

Hamzah berkata terdapat banyak kes berita palsu pada masa ini yang menyentuh isu sensitif hingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram.

Katanya, perangkaan menunjukkan peningkatan kes melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan atau hak kedaulatan yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebanyak 300 kertas siasatan dibuka dari 2015 hingga Julai 2020 mengikut Akta Hasutan dengan 41 kes dituduh, 171 diputuskan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan 34 kes belum selesai.

Antara kes terbaharu di bawah Akta Hasutan ialah membabitkan wartawan Al Jazeera yang disiasat berhubung aporan kontroversi mengenai diskriminasi ke atas pendatang asing tanpa izin.