Bersesak di mahkamah, KP Kesihatan bersuara

Bersesak di mahkamah, KP Kesihatan bersuara

Fitri Nizam

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan rasa sedih melihat situasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Membalas komen dari laporan berita Bernama di Twitter, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seban hari memberi peringatan supaya rakyatpatuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” katanya ringkas di laman sosial Twitter @DGHisham hari ini.


Kehadiran penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kompleks mahkamah itu mencetuskan kebimbangan banyak pihak terutama membabitkan penularan wabak Covid-19.

Mereka berkumpul dan bersesak-sesak bagi memberi sokongan kepada bekas pemimpin nombor satu negara itu yang berhadapan dengan keputusan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.