Buka semula JASA keputusan tepat, ‘tebus dosa’ kerajaan terdahulu

Buka semula JASA keputusan tepat, ‘tebus dosa’ kerajaan terdahulu

Shahril Hamdan

Ulasan | Secara peribadi saya ingin mengucapkan ucapan setinggi terima kasih dan bersyukur apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan cadangan untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang terbukti banyak jasanya kepada negara.

Rasanya sebahagian besar rakyat Malaysia masih ingat episod hitam pembubaran JASA, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) dan beberapa agensi atau sektor lain sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Kesannya, ribuan pekerja dalam sektor-sektor di atas terutama kakitangan kontrak diberhentikan. Ini membuatkan pintu rezeki utama mereka tertutup seterusnya terkapai-kapai ditinggalkan mencari jalan kelangsungan hidup bersama keluarga.

Kezaliman kerajaan terdahulu cukup jelas apabila meletakkan beban hutang negara yang kononnya mencecah nilai triliun ringgit sebagai justifikasi penamatan kerja seperti dinyatakan awalan.

Akhirnya penggunaan alasan “hutang menggunung negara” terbongkar apabila Perdana Menteri “Interim” sendiri telah meluluskan bajet khas sebanyak RM20 bilion sewaktu negara menghadapi krisis pandemik Covid-19.

Bukan itu sahaja, pengakuan beliau bahawa negara punyai wang lebih RM2 triliun untuk dibelanjakan dalam situasi kritikal sangat-sangat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia yang sebelum itu dimomokkan dengan hutang yang tak kunjung surut.

Oleh yang demikian sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa pengumuman Datuk Zahidi untuk membuka semula JASA adalah satu keputusan yang amat tepat. Ini bagi ‘menebus dosa’ kerajaan terdahulu yang bertindak zalim dengan justifikasi sangat lemah.

Kita sebenarnya tahu bahawa keputusan kerajaan menamatkan kontrak mereka bukanlah kerana faktor hutang negara sebaliknya memenuhi tuntutan ahli politik yang mahu mengurangkan kakitangan kerajaan seperti yang pernah mereka uar-uarkan sebelum PRU14.

Kita juga ambil maklum bahawa hari ini situasi sangat berbeza. Ancaman ekonomi pasca Covid-19 perlukan pendekatan penuh hati-hati dan sentiasa menjadi keutamaan negara.

Saya sentiasa percaya pada pepatah “tertutup satu pintu akan membuka pintu-pintu yang lain”. Dalam keadaan kadar pengangguran dan pemberhentian kerja terutama dalam sektor swasta semakin naik, memulangkan pekerjaan kepada yang hak akan melambatkan peratusan kenaikkan ini.

Kesimpulannya, kenyataan Bendahari PKR Lee Chean Chung yang berkata tindakan menghidupkan semula JASA sebagai suatu yang merugikan wang kerajaan adalah ditolak sekeras-kerasnya.

Sebagai rekod, JASA telah terbukti banyak membantu mengembang dan menyalurkan maklumat kerajaan semenjak ia ditubuhkan. Namun begitu, saya turut bersetuju peranan JASA perlu lebih relevan dengan situasi dan keperluan semasa sesuai dengan dunia digital.

Akhirnya, pengambilan semula pekerja-pekerja ini akan dapat membantutkan kenaikkan paras pengangguran negara manakala sumber pendapatan yang bakal dipulangkan kembali kepada mereka turut dapat membantu merancakkan semula aliran tunai kitaran ekonomi negara.

Penulis ialah Ketua Penerangan Umno