Muhyiddin tersenyum puas, bukan Mahathir, kata Puad Zarkashi

Muhyiddin tersenyum puas, bukan Mahathir, kata Puad Zarkashi

Nurul Huda Abhar

“Muhyiddin pasti tersenyum puas dengan keputusan ini, “ kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pasti berbangga kerana walaupun Datuk Seri Najib Razak menandatangani akuan sumpah menyokongnya sebagai Perdana Menteri kelapan, tidak bermakna beliau boleh dibeli berdasarkan sokongan tersebut.

“Hari ini orang yang tersenyum puas apabila Najib dihukum bersalah ialah Muhyiddin bukan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Muhyiddin akan mendakwa dia orang paling berprinsip. Sebab itu Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga tercicir dari senarai menteri, walaupun wajar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, Muhyiddin akan menganggap kerajaan yang diterajuinya kini adalah kerajaan bermoral tinggi kerana setiap pertuduhan akan dibicarakan tanpa mengira status dan pangkat.

Namun begitu, beliau mempersoalkan bagaimana ahli politik lain yang terlibat dengan skandal video dan pertuduhan rasuah dilantik dan mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Puad juga berpendapat mungkin soal moral hanya akan disentuh apabila berkaitan dengan pemimpin Umno, tetapi tidak bagi pemimpin parti lain terutama Bersatu.

“Apa pun Najib juga tidak pernah meminta supaya kes beliau digugurkan.

“Najib pasti maklum kenapa itu berlaku kepadanya. Ada yang tersirat iaitu dendam kesumat,” dakwanya lagi.

Bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.