Nabi Muhammad bukan pelarian, kata Dr Zulkifli

Nabi Muhammad bukan pelarian, kata Dr Zulkifli

Nurul Huda Abhar

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan Nabi Muhammad SAW meninggalkan Makkah atas perintah dan tuntutan Allah SWT, bukannya melarikan diri ke Madinah seperti dinyatakan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu memetik buku biografi tentang kehidupan nabi oleh sarjana Muhammad Said Ramadan al-Bouti.

Beliau berkata hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah bukanlah satu tindakan melarikan diri.

“Dalam kitab Fiqh Al-Sirah dikaryakan Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti mentakrifkan hijrah di mana beliau menyatakan Rasulullah SAW tatkala hijrah ke kota Madinah bukanlah bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu, tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT.

“Istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) sama ada kenyataan Mohamad Sabu yang dilapor menyebut Nabi Muhammad SAW pernah menjadi ‘pelarian’ semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, boleh diklasifikasi sebagai menghina Rasulullah SAW.

Sementara itu, pendakwah bebas, Abu Syafiq menerusi satu hantaran video di laman sosial, menentang keras kenyataan yang ditujukan kepada Nabi Muhammad yang menurutnya bersifat menghina dan merendahkan martabat agama Islam.

“Walaupun dia kata kenyataan itu membawa maksud lain tetapi itu juga tidak wajar,” katanya.

Dalam masa sama, organisasi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) Cawangan Sabah menggesa tuduhan terhadap Rasulullah Saw sebagai pelarian ditarik balik dan wajib bertaubat.

Wakilnya, Abd Rahman Tajudin berkata tiada sebarang isu Nabi Muhammad sebagai pelarian kerana datuk baginda juga berasal dari bumi Madinah.

“Malah bapa Baginda SAW, Abdullah dimaqamkan di Madinah. Malah ibu baginda iaitu Aminah mempunyai kaitan dengan Kabilah Khajraj.

“Maka ini jelas bahawa kota Madinah merupakan tanah pertiwi baginda SAW juga selain Makkah Al-Mukarramah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.