‘Sawit Anugerah Tuhan’ slogan baharu kerajaan perluas industri sawit

‘Sawit Anugerah Tuhan’ slogan baharu kerajaan perluas industri sawit

Nurul Huda Abhar

Parlimen | Slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ akan diuar-uarkan kerajaan bagi tujuan komersil dan memperluaskan lagi sektor sawit negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kerajaan akan terus menobatkan sawit sebagai salah satu hasil utama negara.

“Kita percaya boleh memperluaskan di peringkat hiliran, ini boleh menjadi penambahan nilai utama negara.

“Banyak produk sawit kita khasnya minyak sawit mentah (CPO) dieksport ke luar tetapi nilai di peringkat ‘down stream’ tidak berlaku dalam negara kita,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, jika perancangan memperluaskan hasil peringkat hiliran berhasil, ia mampu meningkatkan lagi peluang pekerjaan di negara ini.

Dengan kewujudkan slogan baharu itu juga katanya, industri sawit negara dapat diperkenalkan lagi pada pihak luar dan kebaikannya dapat dinikmati rakyat.

“Slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ memang akan diuar-uarkan dan kita percaya kerajaan mempunyai ketekunan memberi satu slogan yang baharu bukan sahaja dalam negara malah luar negara,” katanya.

Mengenai sama ada kerajaan akan menetapkaj harga lantai sawit, beliau menjelaskan kementerian belum membuat ketetapan tetapi sentiasa terbuka untuk memartabatkan industri sawit dan membantu pekebun kecil.