Saya faham perasaan, sentimen rakan-rakan – Muhyiddin

Saya faham perasaan, sentimen rakan-rakan – Muhyiddin

Wan Faizal Ismayatim

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan mahkamah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan menghormati hak Datuk Seri Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Muhyiddin berkata kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mensabitkan Najib bersalah atas semua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC.

“Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali,” katanya.