Serik dengan cinta lalu, Miera Leyana umum status sebagai isteri

Serik dengan cinta lalu, Miera Leyana umum status sebagai isteri

“Dulu saya bercinta tak jadi, saya tak nak mengulangi kesilapan yang sama,” kata pelakon Miera Leyana menjawab persoalan mengenai rahsia perhubungan cinta dan majlis pernikahannya.

Pelakon filem Lebuhraya Ke Neraka itu selamat diijab kabul dengan ahli perniagaan, Rosland Othman, 40-an pada malam Ahad.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Miera, Datuk Seri Kasmi Arsat dalam majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.

“Rosland seorang yang sangat mementingkan privasi. Jadi saya perlu hormat permintaan beliau dan ahli keluarganya.

“Macam saya, saya pernah bercinta dan tunjukkannya kepada orang ramai. Lepas tu apabila tak jadi, ia bukan saja bagi kesan kepada saya, tapi juga keluarga,” memetik luahannya kepada mStar.

Miera yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) Anugerah Skrin 2013 mengambil keputusan berkongsi berita pernikahannya setelah majlis selamat berlangsung.

Tambah Miera, dirinya tidak bermaksud menyembunyikan berita baik tetapi tidak mahu kejadian lalu berulang kembali.

“Bukan saya nak rahsiakan perkara daripada semua orang terutama peminat, saya cuma nak pastikan perkara ini betul-betul sah, baru saya kongsi dengan semua.

“Saya tak nak mengulangi kesilapan yang sama. Saya banyak belajar daripada situ,” katanya.

Pelakon berusia 27 tahun yang popular dengan drama Memori Cinta Suraya itu menerima mas kahwin sebanyak RM100 beserta lima berbalas tujuh dulang ketika majlis pernikahannya.

Menerusi hantaran status Instagram (Insta story) miliknya, Miera dan pasangan masing-masing menggayakan persalinan rona putih dan kelihatan beberapa pelakon terkenal hadir termasuk Fatiya Latif, Dayana Roza, Atikah Suhaime, dan Tunku Hanis.