SRC: Najib bersalah atas 7 pertuduhan

SRC: Najib bersalah atas 7 pertuduhan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, sebentar tadi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah terhadap kes berkenaan.

Justeru, hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SRC sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB sebelum ia kemudian menjadi milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.