SRC: Pemimpin tertinggi Umno hadir beri sokongan

SRC: Pemimpin tertinggi Umno hadir beri sokongan

Fitri Nizam

Ratusan penyokong bersama pemimpin tertinggi Umno, berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara yang kelihatan ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Masing-masing hadir dengan penyokong sendiri sebagai tanda sokongan kepada bekas presiden mereka.

Ahmad Maslan ketika ditemui menyatakan harapannya agar Najib dibebaskan hari ini.

“Saya harap kebenaran ditegakkan, dan beliau (Najib) akan dibebaskan oleh mahkamah hari ini,” katanya.

Najib tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 9.26 pagi dengan bersut coklat dilihat tenang melangkah masuk ke bilik mahkamah sambil diiringi Ahmad Zahid.

Keadaan di pekarangan mahkamah agak sesak dengan kehadiran media tempatan dan luar negara yang membuat liputan keputusan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas pemimpin nombor satu negara itu.