Sugu Pavithra kembali dengan kari dalca tulang

Sugu Pavithra kembali dengan kari dalca tulang

Wan Faizal Ismayatim

Selepas beberapa hari menyepi, saluran Youtube Sugu Pavithra hari ini muncul kembali dengan resipi kari dalca tulang.

Video berdurasi enam minit 15 saat itu mendapat lebih 71,000 tontonan selepas kira-kira tiga jam dimuat naik di YouTube.

Ia tentunya mengubat rindu pengikut saluran YouTube berkenaan yang menanti video masakan terbaharu dari Youtuber sensasi terbabit.

Bagaimanapun, video itu hanya S Pavithra sendirian, tidak seperti selalu yang turut menampilkan suaminya, M Sugu.

Ahad lalu, pasangan berkenaan mengumumkan tiada lagi penglibatan bersama YouTube.

Dikatakan laman sosial berkenaan adalah penyebab pasangan itu berselisih faham, sehingga mereka memadam kesemua 98 video yang diikuti lebih 785,000 pelayar di saluran ‘Sugu Pavithra’.

Sabtu lalu, pengikut saluran mereka terkejut apabila mendapati saluran ‘Sugu Pavithra’ kosong tanpa sebarang video.

Sebelum itu, Sugu didakwa didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya serta sengaja mendatangkan kecederaan kepada isteri.