Umno bakal singkirkan Najib?

Umno bakal singkirkan Najib?

Muhammad Aiman

Kedudukan Datuk Seri Najib Razak dalam Umno menimbulkan persoalan dan ada kemungkinan beliau disingkirkan daripada parti itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan kesalahan terhadap tujuh pertuduhan membabitkan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu akan mengambil satu keputusan besar selepas keputusan mahkamah hari ini.

“Saya amat simpati dan bersa sedih bukan hanya sebagai seorang Presiden Umno, yang paling penting, beliau adalah sahabat saya. Tapi ini bukan penghujung dunia.

“Ada proses selepas ini, namun, tentunya kita akan mengambil suatu keputusn politik yang agak besar hasil daripada keputusan yang dibuat hari ini.

“Saya harap kita belapang dada dan bersikap terbuka terhadap apa juga keputusan yang akan dibuat oleh parti,” katanya ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Najib hari ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC.

Bekas perdana menteri itu kelihatan tenang semasa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membacakan keputusan beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kata Mohd Nazlan, pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ini adalah masa untuk membina semula Umno untuk melangkah ke hadapan dan melakukan proses “rejuvenasi”.

Jelasnya, Umno tidak seharusnya diheret dalam isu membabitkan bekas presiden Umno itu meskipun tindak menghalang ahli parti untuk memberi sokongan moral.

“Saya berpendapat, walaupun beliau masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan, inilah masa bagi Umno sebagai sebuah parti politik untuk bergerak ke hadapan dan melakukan proses rejuvenasi.

“Walaupun masing-masing berhak memberikan sokongan moral kepada Najib, saya berharap parti Umno tidak diheret bersekali dalam kes tersebut. .

“Tibalah masa untuk kita bina semula parti keramat Umno ini dan untuk kita melihat kepada suatu peralihan generasi kepimpinan yang bakal membawa parti ke era yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Nada sama juga disuarakan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang mahukan parti itu menukar “gear” demi masa depan dan survival parti.

Katanya masalah yang dihadapi Umno sejak tujuh tahun lalu telah pun diputuskan di mahkamah hari ini.

“Tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Proses perundangan belum tamat dan semua ada hak untuk terus bela diri.

“Tapi kena konsisten mantra dan prinsip asas. Tiada kegembiraan hari ini. Cuma keinsafan bahawa satu pengadilan telah dibuat oleh sistem kehakiman negara, tanpa gugur kes dan sebagainya.

“Bagi saya, sudah waktunya untuk menukar gear sekarang bahawa keputusan telah dibuat mengenai masalah yang telah kita jalani selama 7 tahun,” ciapnya di Twitter petang tadi.