Boleh masuk Dewan selagi tak sah positif

Boleh masuk Dewan selagi tak sah positif

Parlimen | Ahli Parlimen yang menyertai perhimpunan bersama penyokong Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam, tidak boleh dihalang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini selagi tidak ada mana-mana Ahli Parlimen disahkan positif Covid-19.

“Kita tiada kuasa untuk halang aktiviti Ahli Parlimen di luar Dewan. Selagi tidak dibuktikan Ahli Parlimen dijangkiti, kita tidak boleh halang mereka masuk ke dewan ini,” katanya menjawab usul dibangkitkan RSN Rayer (Jelutong-DAP) selepas sesi soal jawab hari ini.

Rayer mencadangkan supaya Ahli Parlimen yang hadir bagi menyokong bekas Perdana Menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dikuarantin dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan.

Azhar bagaimanapun mengakui bimbang kemungkinan berlaku jangkitan Covid-19 dalam perhimpunan terbabit, namun pada masa sama sukar memastikan jika ada Ahli Parlimen yang hadir turut dijangkiti.

Kehadiran penyokong Najib di kompleks mahkamah itu semalam mencetuskan kebimbangan banyak pihak terutama membabitkan penularan wabak Covid-19.

Mereka bersama beberapa Ahli Parlimen Umno berkumpul dan bersesak-sesak bagi memberi sokongan kepada Najib yang berdwpan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Dalam reaksi berhubung perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter turut menyatakan rasa sedih melihat situasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.