Harap tiada penularan berskala besar himpunan di mahkamah

Harap tiada penularan berskala besar himpunan di mahkamah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap tiada jangkitan mahu pun penularan berskala besar susulan himpunan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, ketika keputusan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibacakan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika menyuarakan kekecewaannya terhadap peserta himpunan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan berkata, pihaknya akan memantau jika berlaku peningkatan kes dalam masa dua minggu di kalangan hadirin.

Katanya, beliau kecewa melihatkan kehadiran ramai orang pada himpunan berkenaan dan bimbang usaha semua pihak selama ini sia-sia.

“Selama tujuh bulan kita kerja siang malam, dengan air mata dan keringat dalam usaha untuk mengekang wabak.

“Kami kecewa apabila melihat himpunan. Saya tak terlibat dalam politik tetapi ini tentang mematuhi SOP,” katanya yang dipetik dari laporan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada program Libat Urus Kementeraian Kesihatan bersama media, hari ini.

Noor Hisham mengingatkan sebarang tanda untuk kluster yang baru akan dapat dilihat dalam masa dua minggu, iaitu tempoh inkubasi virus Covid-19.

“Sekarang langkah kita adalah melihat jika ada peningkatan kes dalam masa dua minggu di kalangan mereka yang ke hospital atau klinik kesihatan untuk ujian saringan. Kita berharap tiada jangkitan mahupun penularan berskala besar yang disebabkan semalam,” katanya lagi.

Semalam, Noor Hisham melahirkan rasa kecewanya melihatkan situasi di kompleks mahkamah berkenaan dalam satu ciapan ‘Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” katanya.