Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tumbang?

Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tumbang?

Fitri Nizam

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pelbagai parti.

Difahamkan, gabungan baharu berkenaan membabitkan Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Musa berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, pagi tadi.

“Mereka membuat kunjungan hormat itu bagi memaklumkan bahawa gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam sidang media tergempar di Kota Kinabalu.

Hasil kunjungan itu, Musa berkata, Juhar telah memintanya untuk mengemukakan surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan Adun terbabit

“Saya telah menerima surat akuan bersumpah Adun yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya.

Mengulas lanjut, Musa berkata gabungan baharu ini akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir akibat kelemahan kerajaan kini.

“Bersama bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,” katanya.

Difahamkan, antara Adun yang berpihak kepada parti Warisan sebelum ini, namun hadir sidang media berkenaan ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Kenny Chua (Inanam), Datuk Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas).

Malaysia Post turut menerima beberapa keping gambar dipercayai pertemuan Musa bersama beberapa Adun terbabit.

Sejak beberapa minggu lalu, heboh diperkatakan kerajaan Sabah pimpinan Warisan akan tumbang apabila ada Adun dikatakan akan melompat parti.

Minggu lalu, beberapa Adun dari DAP mendakwa dihubungi dan didatangi ‘ejen’ yang menawarkan mereka melompat parti dengan tawaran jawatan tertentu.