Lelaki acu pisau kepada ibu kandung ditahan

Lelaki acu pisau kepada ibu kandung ditahan

Fitri Nizam

Jenayah | Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah ditahan di sebuah rumah dekat Jalan 14/59, Petaling Jaya, kerana bertindak agresif dengan mengacukan pisau kepada ibu kandungnya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam semalam, suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata ketika ditahan polis tidak menjumpai sebarang barangan salah di badannya.

“Bagaimanapun, polis berjaya merampas pisau yang cuba disembunyikan suspek di bawah permaidani di ruang tamu kediaman berkenaan.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methaphetamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan selama dua hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan kepada mangsa dengan mengacukan pisau.

“Jika sabit kesalah suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda sebanyak RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.