Moratorium bersasar: Ambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah

Moratorium bersasar: Ambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah

Wan Faizal Ismayatim

Pemberian moratorium dan bantuan bersasar yang diumumkan kerajaan hari ini, perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuspacs), Adnan Mat berkata ia bagi memastikan menfaat menyeluruh kepada rakyat.

Hal ini kerana, katanya, mereka yang hilang pekerjaan atau terjejas pendapatan tidak semestinya memiliki pinjaman kerana pasangan mereka yang melakukan pinjaman tersebut, tetapi pembayaran dilakukan secara bersama.

“Sebagai contoh, Ali seorang penjawat awam, manakala isterinya Julia bekerja di sektor swasta. Mereka memiliki sebuah kereta dan rumah melalui pinjaman dibuat Ali tetapi dibayar secara bersama.

“Semasa negara dilanda pandemik Covid-19, Julia kehilangan kerja manakala suaminya penjawat awam masih bekerja seperti biasa.

“Dalam hal ini Ali wajar diberikan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kerana pendapatan isi rumah mereka terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Adnan berkata, Cuepacs berharap pertimbangan itu wajar diberi perhatian oleh kerajaan dan institusi kewangan.

Dalam perkembangan sama, Adnan berkata pihaknya berharap proses pemberian moratorium dan bantuan bersasar tidak dirumitkan dengan kerenah birokrasi yang akan menyulitkan rakyat.

“Cuepacs mencadangkan Bank Negara menetapkan satu standard yang boleh dan perlu diguna pakai oleh semua bank serta institusi kewangan di negara ini.

“Langkah ini bagi memastikan tiada syarat atau kerenah birokrasi dilakukan insitusi kewangan tanpa pengetahuan kerajaan hingga menyulitkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat Covid-19.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar.

Muhyiddin berkata terdapat dua golongan individu yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan itu iaitu individu kehilangan pekerjaan dan individu yang terjejas akibat gajinya berkurangan.