SRC: Umno teliti kemungkinan kekhilafan perundangan, fakta

SRC: Umno teliti kemungkinan kekhilafan perundangan, fakta

Fitri Nizam

Umno akur dengan keputusan penghakiman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd, namun akan meneliti kemungkinan wujud kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno menganggap penghakiman kes SRC International itu sebagai suatu yang perlu diteliti dan diberi perhatian secara serius.

Katanya, penghakiman telah pun dibuat melalui proses perundangan sistem kehakiman dan jelas Umno serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencampuri proses berkenaan.

“Apa yang dilalui dalam kes ini belum berakhir kerana ruang mendapatkan keadilan dalam proses perundangan masih terbuka. Tiada siapa yang patut dihalang dari memperolehi keadilan.

“Kita telah banyak menyaksikan dalam catatan perundangan dan politik di dalam atau luar negara mengenai kes-kes yang melibatkan orang politik di mahkamah. Ia bukanlah sesuatu yang di luar sensasi politik,” katanya.

Dalam kes SRC, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana RM42 juta.

Ahmad Zahid berkata, meneliti keputusan penghakiman ini dengan cara yang terbaik selain mempertahankan semangat setiakawan sekutu dalam Barisan Nasional (BN) Muafakat Nasional (MN) dan PN.

“Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan.

“Kita akan terus memberi penerangan kepada ahli-ahli mengenai kedudukan perkara sebenar berhubung kes ini,” katanya.

Beliau berkata, proses pengadilan di Mahkamah Tinggi sudah selesai tetapi Najib ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Ia adalah hak setiap rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara.

“Sudah tentu kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim, namun penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan wujudnya kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta.

“Umno dan BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur campur tangan oleh mana-mana pihak,” katanya.