5 bulan tak bergaji, Zaquan Adha jual nasi ayam

5 bulan tak bergaji, Zaquan Adha jual nasi ayam

Muhammad Mustakim Ramli

Tunggakan gaji yang melanda pasukan Kedah dilihat menjadi pendorong kepada Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak menjalankan perniagaan Nasi Ayam Geprek AR. 

Perniagaan yang dijalankan Zaquan bersama isterinya, Ayu Raudhah itu ternyata mendapat sokongan menggalakan terutama pelanggan dari Kedah sejak ia diperkenalkan pada Jun yang lalu. 

Berdasarkan semakan MalaysiaPost di Facebook dan Instagram milik bekas kapten kebangsaan itu, jualan nasi ayam hasil air tangan Ayu Raudhah itu semakin meningkat setiap kali mereka mengambil tempahan atau ‘open order’.

Di dalam posting Zaquan di dalam media sosialnya, beliau amat berterima kasih kepada ramai pelanggan yang membuat ‘repeat order’, selain turut  berharap peminat mendoakan supaya mereka dapat meluaskan lagi perniagaan Nasi Ayam Geprek AR. 

“Doakan kami dapat luaskan perniagaan kami..minta maaf juga jika ada kekurangan dari kami..insyallah akan kami perbaiki,” kata Zaquan. 

Malah, melalui posting terbaru di media sosialnya, Zaquan turut memberi kejutan kepada pelanggan bertuah dengan menghadiahkan baju melayu jenamanya sempena Aidiladha, esok. 

Difahamkan perniagaan pasangan itu kini semakin maju apabila Ayu Raudhah melalui IG Story miliknya memaklumkan ingin mencari agen Nasi Ayan Gaprek AR di sekitar Kedah.