Gagal bayar gaji pemain, kegagalan besar pemimpin – TMJ

Gagal bayar gaji pemain, kegagalan besar pemimpin – TMJ

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kegagalan membayar gaji pemain adalah kegagalan besar bagi seorang pemimpin atau pemilik kelab bola sepak itu sendiri.

Tunku Ismail bertitah, kebajikan pemain antara perkara terpenting buat pasukan JDT itu sejak ia ditubuhkan pada 2013.

“JDT tidak mempunyai sebarang isu berkaitan gaji atau bonus kepada pemain, jurulatih dan kakitangan sejak 2013.

“Gagal membayar gaji adalah satu kegagalan besar sebagai seorang pemimpin,” titah baginda dalam satu entri di laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Titahnya, pandemik Covid-19 menguji kewangan kelab namun pemain, jurulatih, kakitangan dan pengurusan telah menunjukkan apa maksud sebenarnya Keluarga JDT.

“Keluarga JDT sebulat suara bersetuju untuk memotong gaji dalam membantu kewangan kelab dan juga bersetuju untuk menderma sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial mereka,” titahnya.