Lanjutan moratorium bantu syarikat, perniagaan terjejas – PPIPBM

Lanjutan moratorium bantu syarikat, perniagaan terjejas – PPIPBM

Wan Faizal Ismayatim

Pelanjutan moratorium yang diumumkan kerajaan kepada sektor perniagaan terjejas sedikit sebanyak membantu mengatur kemampanan kewangan syarikat.

Persiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Azman Yusoff berkata hanya dengan cara itu, perniagaan mereka mampu beroperasi biarpun dalam situasi sukar dan pulih secara beransur-ansur.

Katanya, jaminan kerajaan supaya bank memberi kelonggaran seperti itu turut merangsang pertumbuhan yang positif dalam sektor pengilang terutama perindustrian kecil dan sederhana atau SME.

“Pengilang perlu menggunakan inisiatif ini sebagai peluang untuk mengurus kewangan syarikat mereka. Lebih penting memastikan pekerja tidak diberhentikan.

“Inilah masa terbaik untuk pengilang beri peluang kepada pekerja tempatan dan percaya mereka mampu laksanakan tugasan dengan baik dan jangan terlalu memilih bidang kerja di masa masa sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, pengumuman kerajaan semalam berkenaan moratorium melegakan bagi sebilangan besar rakyat dan masyarakat perniagaan.

Katanya, sektor pengilangan dan pembinaan adalah rantaian yang cukup terkesan dalam pandemik Covid-19.

“Sungguhpun ia sudah dibenarkan beroperasi, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini memberi kesan ekonomi yang panjang kepada mereka.

“Masih terdapat projek pembinaan tidak dapat berjalan kerana ketiadaan modal mula operasi dan tidak kurang yang sudah gulung tikar.

“Juga kilang yang terpaksa tutup operasi menyebabkan pendapatan yang diraih menyusut teruk. Kesannya, ramai pekerja diberhentikan dan hilang mata pencarian,” katanya.

Beliau menambah, pakej rangsangan yang diumum kerjaaan amat membantu namun diharap supaya peruntukannya ditambah bagi membantu syarikat pembinaan dan usahawan pengilang yang berskala kecil.

“Mereka begitu mengharapkan bantuan ini. Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika ini juga sedikit sebanyak meningkatkan kos perniagaan syarikat.

“Sekatan kemasukan pekerja asing yang masih berlanjutan hingga kini, turut menggugat produktiviti syarikat, ekoran berlaku kenaikan kepada kos kerja.

“Untuk memulihkan semula perniagaan mereka yang terjejas memerlukan tempoh masa tidak kurang setahun, malah lebih jika melihat kepada trend pendemik yang masih di tahap mengusarkan.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.

Antara lain, bank memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau yang bekerja sendiri.