Peristiwa 1994, 2018 berulang? Sabah dan lompat parti berpisah tiada

Peristiwa 1994, 2018 berulang? Sabah dan lompat parti berpisah tiada

Thaddius Unnip

Ulasan | Bermula dengan kejatuhan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1994, amalan lompat parti seolah-olah sudah menjadi budaya politik di Negeri di Bawah Bayu itu.

Ketika itu, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO berjaya merampas kerajaan negeri apabila hampir semua wakil rakyat PBS meninggalkan parti dan menyertai UMNO atau menubuhkan parti baharu sebelum menyertai BN.

Ia menjadi permulaan pentadbiran BN selama 24 tahun di Sabah, sebelum ditumbangkan gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), juga berpunca daripada tindakan lompat parti.

BN yang membentuk kerajaan selepas memperolehi majoriti mudah 31 kerusi hasil kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) selepas PRU14 pada Mei 2018, tumbang apabila sebahagian wakil rakyatnya melompat parti.

Pada PRU14, BN Sabah hanya memperolehi 29 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Star dua kerusi, selebihnya dimenangi Warisan (21 kerusi), PKR (dua kerusi) dan DAP (enam kerusi).

Kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman itu bagaimanapun hanya bertahan beberapa hari.

Pada masa itu, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu, sekarang dikenali Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), salah satu komponen BN di Sabah keluar daripada gabungan berkenaan dan menyatakan sokongan kepada gabungan Warisan-PH.

Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau (kiri) mengumumkan parti itu keluar BN dan menyokong Warisan pada 9 Mei 2018, sekali gus kerajaan negeri BN tumbang

Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau yang dipersalahkan sebagai punca utama kejatuhan BN di Sabah pada masa itu memberi alasan tindakannya kerana menuruti kehendak rakyat yang memberi kemenangan kepada PH di peringkat Pusat.

Beberapa wakil rakyat UMNO, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik); Datuk Bolkiah Ismail (Pitas); Datuk Osman Jamal ,(Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong) turut keluar parti.

Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat (dua dari kiri) antara Adun Umno terawal meninggalkan parti dan menyertai Warisan.

Mereka adalah lima Adun Umno yang terawal keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri baharu kerajaan pimpinan Warisan-PH.

Selepas itu, satu demi satu Adun Umno keluar parti dengan sebahagian besarnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diketuai Adun Sulaman yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Adun Kemabong, Jamawi Jaafar mengumumkan keluar Umno dan menyertai Warisan pada 12 Mei 2018.
Sebahagian wakil rakyat Umno yang keluar parti dan menyertai Bersatu pada awal 2019.

Selebihnya ada yang menyertai PKR, UPKO dan Warisan.

Namun, perubahan kerajaan Pusat pada akhir Februari lalu apabila PH digantikan Perikatan Nasional (PN) turut memberi kesan kepada kestabilan kerajaan pimpinan Warisan di Sabah.

Pada awalnya, khabar angin pertukaran kerajaan negeri mungkin berlaku berikutan perubahan kerajaan di Johor, Melaka, Kedah dan Perak daripada PH kepada PN.

Spekulasi mengenai perkara itu diperkuatkan lagi dengan tindakan dua Adun UPKO, Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun Bebas menyokong PN, bulan lalu.

Khabar angin mengenai perubahan kerajaan negeri semakin panas minggu lalu apabila ramai wakil rakyat kerajaan pimpinan Warisan mengadu didatangi atau dihubungi ejen politik yang mengajak mereka supaya melompat.

Satu senarai yang dikatakan Kabinet baharu kerajaan Sabah diketuai Tan Sri Musa Aman turut tersebar di media sosial, memberi gambaran kemungkinan perubahan kerajaan negeri bakal berlaku.

Kemuncaknya berlaku semalam apabila Musa, dalam sidang media di kediamannya di Kota Kinabalu mengumumkan memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan kerajaan pimpinan Warisan yang berusia kira-kira dua tahun itu.

Ia katanya berdasarkan akuan bersumpah yang menyatakan sokongan wakil rakyat DUN Sabah kepadanya bagi mengetuai pengambilalihan kerajaan negeri daripada Warisan.

Sidang media itu turut dihadiri sebahagian besar bekas wakil rakyat Umno dan BN yang melompat ke parti lain termasuk Warisan, selain daripada Bersatu, UPKO dan PKR.

Antaranya empat daripada lima bekas Adun UMNO yang terawal meninggalkan parti itu pada 2018, masing-masing seorang Adun PKR (Kenny Chua) dan UPKO (Datuk Abidin Madingkir) serta bekas Adun PBS yang menyertai Warisan (Datuk Anita Baranting).

Berdasarkan kedudukan kerusi DUN Sabah sebelum ini, pembangkang menguasai 19 kerusi dengan sembilan daripada Bersatu, PBS (empat), STAR (tiga), Bebas (dua) dan satu UMNO.

Kerajaan pimpinan WARISAN pula memiliki 46 kerusi, termasuk lima ADUN Dilantik.

Ini bermakna, pembangkang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 14 ADUN lagi bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Warisan.

Jika benar jumlah itu sudah diperolehi, proses seterusnya hanya menunggu pihak Istana Negeri untuk mengesahkan sokongan diterima Musa yang dilaporkan bakal mengetuai kerajaan baharu pro PN itu.

Bagaimanapun, setakat semalam, Mohd Shafie didakwa masih mendapat sokongan majoriti dengan 33 ADUN termasuk tiga ADUN Dilantik, masing-masing 24 daripada Warisan, DAP (enam), UPKO (dua) dan PKR (satu).

Berdasarkan situasi itu, apa yang jelas, sekali lagi amalan lompat parti berlaku, dengan kali ini bagi menumbangkan kerajaan Warisan pro PH untuk digantikan dengan pakatan baharu pro PN.

Walaupun difahamkan Mohd Shafie mungkin mengambil langkah membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk menentukan sokongan rakyat, ia berlaku selepas tindakan ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti.

Mengimbas kembali apa yang terjadi kepada kerajaan pimpinan PBS pada 1994, parti itu kehilangan kuasa selepas dua minggu memerintah apabila tiga wakil rakyatnya iaitu Adun Klias, Datuk Lajim Ukin; Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Adun Dilantik, Zaini Isa keluar parti dan menyertai UMNO.

Pada PRN 1994, PBS menang majoriti mudah dengan 25 kerusi berbanding 23 dimenangi BN.

Berikutan tindakan tiga Adun berkenaan, kerajaan PBS bukan saja tumbang malah hampir semua wakil rakyatnya meninggalkan parti.

UPKO yang pada mulanya dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah antara parti serpihan ditubuhkan bekas pemimpin PBS yang keluar parti pada tahun berkenaan.

Parti terbabit kemudian menyertai BN dan pemimpinnya dilantik menganggotai Kabinet negeri yang baharu di bawah kerajaan BN yang ditunjangi Umno.

Tidak keterlaluan jika dikatakan peristiwa kejatuhan kerajaan PBS pada waktu itu menjadi permulaan amalan lompat parti bagi menukar kerajaan yang berlarutan di Sabah sehingga ke hari ini.

Golongan lompat parti itulah yang menjadi penentu kerajaan yang memerintah, selain memastikan kerajaan sedia ada dapat ditumbangkan.

Walaupun amalan itu disifatkan sebagai sesuatu yang negatif dan pelakunya digelar ‘katak’, ia masih berlaku dan mungkin berterusan sebagai sebahagian daripada amalan politik di negara ini.

Penulis ialah bekas wartawan, kini penulis bebas