Shafie umum pembubaran DUN Sabah

Shafie umum pembubaran DUN Sabah

Muhammad Mustakim Ramli

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebentar tadi bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Beliau yang juga Presiden Warisan, mendakwa pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam pertemuan mereka, pagi tadi.

“Pagi tadi saya bertemu Yang di-Pertua Negeri dan telah diperakukan untuk bubar dewan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Adun blok kerajaan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Kemelut politik Sabah bermula petang semalam apabila Tan Sri Musa Aman yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah mendapat sokongan Adun dari pelbagai parti.

Difahamkan, gabungan baharu berkenaan membabitkan Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Berita lanjut menyusul