Umno tak sertai PN, tiada isu, kata Mahdzir

Umno tak sertai PN, tiada isu, kata Mahdzir

Nilam Oshman

Semua pihak tidak perlu menjadikan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai polemik.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini kerana Umno tidak pernah menyertai PN, malah ia sehingga kini tidak pernah ditubuhkan.

“Jadi ia tidak menjadi isu. Sokongan kepada kerajaan PN sebelum ini dibuat berdasarkan sokongan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan kebenaran presiden.

“Sehingga kini PN tidak pernah ditubuhkan secara rasmi dan sokongan Ahli Parlimen Umno kepada kerajaan PN tidak berubah,” katanya kepada Malaysia Post.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata Umno membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama PAS dan komponen BN.

Katanya, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN serta Adun-Adun dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno hanya membuat keputusan untuk tidak sertai PN sebagai salah sebuah komponen, bukan keluar dari kerajaan.

“Memandangkan Bersatu sudah nyatakan hasrat untuk sertai Muafakat Nasional, Presiden UMNO telah mencadangkan agar Jawatan kuasa Induk Muafakat Nasional Umno-PAS dapat memperhalusi dan mempertimbangkannya,” katanya.