Umno tidak sertai PN, mahu perkasa MN – Zahid

Umno tidak sertai PN, mahu perkasa MN – Zahid

Muhammad Mustakim Ramli

Umno membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Umno sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN),

“Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN serta Adun-Adun dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyatakan hasrat untuk menyertai MN.

“Dalam pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen, beliau menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk Umno dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatan kuasa Induk MN untuk mempertimbang hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.