186 ditahan ingkar PKP – Ismail

186 ditahan ingkar PKP – Ismail

Seramai 186 individu ditahan polis semalam, atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 41 individu direman dengan tiga individu dijamin, manakala 142 individu pula dikenakan kompaun.

“Kesalahan ingkar arahan PKP itu termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (dua), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (59), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (124) dan langgar Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) (satu),” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, PDRM juga melakukan 1,942 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Katanya, seramai 2,800 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 16 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai 11 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.