3 pelajar ditahan kes pukul rakan hingga parah

3 pelajar ditahan kes pukul rakan hingga parah

Muhammad Mustakim Ramli

Polis menahan tiga pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Tangkak, Johor yang memukul rakan mereka hingga parah di bahagian lutut dalam pergaduhan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata mangsa berusia 17 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Muar.

“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dan saling cabar mencabar antara pelajar terbabit sehingga berlaku pergaduhan.

” Insiden itu berlaku pada waktu pagi ketika sesi persekolahan 27 Julai lalu, mangsa pelajar tingkatan lima dipukul tiga pelajar tingkatan tiga sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada lutut kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiga suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 2 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Laporan mengenai insiden itu dilakukan abang mangsa pada 29 Julai lalu selepas mendakwa pihak sekolah gagal menyelesaikan perkara berkenaan sebaliknya memintanya supaya tidak memanjangkan perkara itu,” katanya.