PRK DUN Slim: PH beri laluan kepada Bersatu ‘Black Out’

PRK DUN Slim: PH beri laluan kepada Bersatu ‘Black Out’

Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan bahawa gabungan pembangkang itu bersetuju memberi ruang kepada kumpulan Bersatu ‘Black Out’ untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan datang.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang memutuskan untuk tidak bertanding dan membuka ruang kepada Bersatu yang memihak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbuat demikian.

Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa PH tidak akan bertanding pada PRK yang dijadual pada 29 Ogos ini.

“PH bersetuju tidak bertanding. Akan memberi ruang kepada Bersatu Tun (Bersatu Blackout) bertanding,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau turut memberitahu bahawa adalah terpulang kepada parti berkenaan untuk menentukan calon yang bakal bertanding.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada calon Bersatu ‘Blackout’ akan menggunakan tiket PH pada PRK itu atau sebaliknya, Saifuddin berkata dia tidak mempunyai jawapan.

“Tidak ada idea. Hanya Tun (Dr Mahathir) boleh jawab,” katanya.

PRK Slim diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung, baru-baru ini.

Pada PRU lalu, Mohd Khusairi menang di kerusi DUN Slim menewaskan calon Bersatu dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.