Sultan Sharafuddin ingatkan umat Islam di Selangor rai Aidiladha secara sederhana

Sultan Sharafuddin ingatkan umat Islam di Selangor rai Aidiladha secara sederhana

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam di negeri itu meraikan Aidiladha secara sederhana ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Baginda juga berharap rakyat terus berwaspada dan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut mengucapkan salam Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Baginda berdua sentiasa mendoakan rakyat dijauhi daripada malapetaka dan bencana serta dapat menghapuskan wabak Covid-19.

Selain itu, Baginda turut menyeru umat Islam menjalankan ibadah korban dengan tertib dan berhemah mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Semoga umat Islam memperoleh hikmah pada Aidiladha dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat keseluruhannya,” titah Baginda.