Bahasa Melayu di mahkamah, mulakan dari awal pendidikan undang-undang

Bahasa Melayu di mahkamah, mulakan dari awal pendidikan undang-undang

Nilam Oshman

Mulakan usaha memperkasakan bahasa Melayu di mahkamah melalui pendidikan awal dalam kursus undang-undang.

Itu pandangan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz bagi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam prosiding di mahkamah.

Katanya, walaupun ramai peguam adalah lulusan luar negara, ia bukan alasan untuk melakukan pengecualian tertentu.

“Kita perlu memperkukuhkan pendidikan bahasa Melayu undang-undang di peringkat Sijil Amalan Undang-Undang (CLP), jadi kena belajar,” katanya kepada Malaysia Post.

Sebelum ini, Malaysia Post melaporkan isu penggunaan bahasa Melayu di mahkamah yang dibangkitkan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Mohd Khairul Azam dilaporkan berkata sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu wajib digunakan di mahkamah dan hakim perlu tegas dalam penggunaannya.

Beliau menjelaskan, punca kuasa pertama adalah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

Bagaimanapun, menyedihkan walaupun ada akta dan pekeliling menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa yang wajib di mahkamah, namun bahasa Inggeris lebih banyak digunakan.

Isu itu turut menarik perhatian pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim yang mengakui sedih apabila hakim dan peguam seakan-akan tidak mahu mencuba menggunakan bahasa Melayu dalam prosiding di mahkamah.

Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu berkata, penguatkuasaan berkenaan bahasa Melayu di mahkamah itu hendaklah diperkasa dan diperkukuhkan.

“Sebab pada saya, kita sudah 63 tahun mencapai kemerdekaan, justeru amat memalukan jika peguam di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu, malah secara umumnya yang memainkan peranan penting juga adalah hakim.

“Jadi bagi memperkasakan bahasa Melayu di mahkamah, saya fikir ia hendaklah dimulakan dari awal pendidikan undang-undang. 

“Walaupun kita boleh menggunakan dwi-bahasa tetapi sekurang-kurangnya peguam kenalah utamakan bahasa Melayu,” katanya.