Burger bakar Maya Karin henti operasi hari ini

Burger bakar Maya Karin henti operasi hari ini

Nurul Huda Abhar

Pelakon, Maya Karin, mengumumkan pemberhentian operasi perniagaannya, Burger Bakar Maya Karin bermula hari ini.

Menerusi hantaran di laman sosial Instagram miliknya, Maya, 41, turut menyatakan namanya tidak terlibat dengan sebarang jenama produk sejuk beku itu yang terdapat di pasaran.

“Dengan ini saya ingin mengumumkan Burger Bakar Maya Karin akan tutup bermula 1 Ogos ini.

“Dengan itu saya memberitahu saya tidak terlibat dengan mana-mana brands burger. Projek burger ini bermula pada musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengisi masa terluang,” katanya.

Pelakon Pontianak Harum Sundal Malam tersebut menyatakan keputusan yang diambil disebabkan ada pihak yang ingin mengambil kesempatan terhadap perniagaannya.

Sebagai simbolik kenangan, Maya membuat penghantaran terakhir ke Mahaad Taufiq Lil Atyam, Gombak dan berkongsi gambar bersama pelajar-pelajar.

“Sejujurnya niat di hati memperluaskan dan memperkembangkan lagi burger bakar saya tapi saya mendapati ada pihak mengambil kesempatan jadi itu antara sebab saya mengambil keputusan untuk tutup terus

“Delivery terakhir Burger Bakar Maya Karin kepada Mahaad Taufiq Lil Atyam. Terima kasih di atas sokongan anda semua yang tak terhingga. Saya amat hargai segala sokongan anda berikan. Selamat Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.

Perniagaan burger bakar tersebut bermula secara tidak sengaja semasa PKP dilaksanakan apabila seorang rakannya meminta untuk menyimpan alat pembakar dan kios di rumahnya.

Bermula dari itu permintaan terhadap burger bakar Maya semakin meningkat dan dia turut bercadang untuk membuka cawangan lain sebagai usaha untuk meluaskan lagi perniagaannya.