Musa: Filipina tidak perlu pertikai kedudukan Sabah

Musa: Filipina tidak perlu pertikai kedudukan Sabah

Kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak, kata bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Jelasnya, tindakan Filipina khususnya menteri luarnya, berterusan menuntut Sabah boleh menjejaskan hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama.

“Rakyat Sabah tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina ke atas negeri itu. Penduduk di Sabah memilih untuk kekal di negeri ini kerana ia berada di Malaysia.

“Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan terus menjadi sebahagian daripada negara berdaulat sejak negeri ini menyertai penubuhan Malaysia.

“Kami menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi bersama Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Sungai Sibuga itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Martin Idang dalam kes kerajaan Malaysia lawan Nurhina Kiram Fornan & Ors baru-baru ini memutuskan Sabah sebahagian daripada Malaysia dan negara lain tiada hak atau kuasa untuk mencampuri urusannya.

Rabu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, ia akan memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose untuk menjelaskan catatan Setiausaha Luarnya, Teodoro Locsin Jr di Twitter yang mendakwa “Sabah is not in Malaysia”.

Katanya, kenyataan itu tidak bertanggungjawab yang akan menjejaskan hubungan dua hala kerana Sabah masih dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Susulan itu, Locsin menerusi catatan di Twitternya berkata “tiada negara boleh memberitahu apa yang ia boleh dan tidak boleh kata” dalam rekasi terhadap kenyataan rakan sejawatannya dari Malaysia.

Sementara itu, bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berasingan membidas Locsin atas dakwaannya Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan persekutuan pada 16 Sept 1963.

Beliau berkata, kenyataan Locsin itu menunjukkan kejahilannya mengenai sejarah dan undang-undang antarabangsa, serta memberi amaran ia akan menjejaskan hubungan dua hala.

“Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan kekal demikian. Jelas ini semata-mata langkah politik (Locsin) yang tidak relevan dan tidak penting,” katanya.