Pelitup muka fabrik boleh digunakan- Dr Adham

Pelitup muka fabrik boleh digunakan- Dr Adham

Pelitup muka fabrik masih boleh dipakai meskipun ia tidak mematuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, bagaimanapun keberkesanan penggunaan pelitup muka bukan perubatan yang dijual di pasaran itu mungkin berbeza bergantung pada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.

“WHO mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang hidrofilik iaitu bersifat menyerap air misalnya kapas atau campuran kapas.

“Lapisan paling luar pula diperbuat daripada bahan hidrofobik iaitu bersifat menghindar penyerapan air misalnya polipropilena, poliester atau campurannya boleh mengehadkan pencemaran luar daripada menembusi masuk ke hidung dan mulut pemakai, manakala lapisan tengah hidrofobik diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berkuat kuasa hari ini, pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Selaras dengan penguatkuasaan itu, individu yang tidak memakai pelitup di tempat awam atau kawasan sesak boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

“Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain,” katanya lagi. 

Dalam pada itu Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan golongan yang menghidap atau mengalami gejala pernafasan, memakai pelitup muka perubatan jenis tiga lapis, sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan Covid-19.

Katanya, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap kencing manis serta darah tinggi, juga disaran menggunakan pelitup muka jenis sama, khususnya ketika berada di tempat yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun pelitup muka tidak boleh dipakai kanak-kanak yang berusia kurang dua tahun dan mereka yang sukar bernafas atau individu yang tidak sedarkan diri serta individu kurang upaya atau yang tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan,” katanya lagi.