Takhta Raja Katak kini menjadi rebutan – Ibrahim Ali

Takhta Raja Katak kini menjadi rebutan – Ibrahim Ali

Muhammad Mustakim Ramli 

Parti Putra mengusul dan mencadangkan pindaan kepada Akta Pilihanraya bagi mencegah budaya lompat tukar parti yang memudaratkan beban kewangan negara serta mengancam keselamatan rakyat dan kestabilan politik, kata Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali. 

Katanya, beliau sendiri pernah bertukar parti atas sebab peribadi dan disingkir tetapi secara individu yang langsung tidak mengugat kerajaan dipilih rakyat.

“Saya digelar katak dan dicemuh manakala kini bukan lagi lompat katak tapi lompat beruk cari buah dari pokok ke pokok. Pelik tapi benar. 

“Mereka yang pernah menghina saya lompat parti mutakhir ini bertukar parti atau melompat lebih dua tiga parti tanpa segan silu ibarat kata dulang paku serpih. Takhta Raja Katak kini menjadi rebutan begitu hebat sekali,” katanya menerusi kenyataan. 

Beliau berkata, terkini lompat parti berlaku secara berjemaah yang meruntuhkan kerajaan yang dipilih rakyat, di mana sebelum ini berlaku di Semanjung dan terbaru di Sabah.

“Bagi mengatasi budaya gila lompat parti yang menjadi-jadi malah secara berjemaah, Putra mengusul dan mencadangkan Akta Pilihanraya dipinda dimana, setiap wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya tidak boleh melompat atau berpindah parti.

“Jika mana-mana wakil rakyat bertukar parti dari parti yang asalnya mereka dipilih, mereka secara automatik dilucut hak sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan dan parti berkenaan boleh menamakan wakil baru tanpa diadakan Pilihan Raya Kecil,” katanya.