11 kes baru kluster Sivagangga

11 kes baru kluster Sivagangga

Fitri Nizam

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 kes baru Covid-19 daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes positif itu menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kluster itu kepada 20 pesakit, setakat ini.

Katanya, lapan daripada kes dikesan itu adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,975 yang juga generasi pertama kluster itu, termasuk seorang murid sekolah berusia tujuh tahun.

Beliau berkata, tiga lagi pesakit dikesan positif adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,976 yang juga generasi pertama, termasuk seorang pelajar sekolah berusia 10 tahun.

“Hingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 313 individu sudah disaring.

“Daripada jumlah itu, 20 kes dikesan positif COVID-19, 280 lagi negatif dan 13 masih menunggu keputusan ujian.

“Kesemua 20 kes dikesan positif adalah aktif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.