ANIH Berhad minta pengguna lebuh raya tak solat di lorong kecemasan

ANIH Berhad minta pengguna lebuh raya tak solat di lorong kecemasan

Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANIH Berhad memohon kesabaran dan penelitian wajar pengguna jalan raya agar tidak menunaikan solat di di lorong kecemasan, atas faktor keselamatan.

ANIH Berhad berkata pihaknya mengambil maklum gambar yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu, mengenai pengguna yang menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di KM32 KLK.

Ia akibat kesesakan lalu lintas apabila orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.

Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

“Kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar dari pengguna jalan raya agar tidak menunaikan ibadat solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan di atas faktor keselamatan.

“Adalah dikhuatiri, kelak mungkin akan terdapat pengguna jalan raya lain turut sama solat dan ini boleh menyebabkan penunggang motosikal dan kenderaan lain tidak menyedari kehadiran statik individu yang berada di lorong kecemasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syarikat konsesi itu juga berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan dan persinggahan untuk bersolat atau berhenti rehat di hentian rehat dan rawat sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan KLK ketika pulang ke Lembah Klang.

Menurutnya, ia berikutan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan mendadak dan kesesakan yang bakal ditempuhi kelak.

“ANIH Berhad amat menghargai komitmen pengguna dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya untuk diri sendiri, keluarga dan pengguna lain serta sentiasa bersabar di dalam aliran trafik puncak,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar dua wanita bertelekung sedang mengerjakan solat di tepi lebuh raya.

Berdasarkan maklumat di Facebook, lokasi tersebut berhampiran Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah iaitu selepas parkir lori dekat deretan gerai lemang.