Beri laluan kepada parti lebih kuat, kata Annuar

Beri laluan kepada parti lebih kuat, kata Annuar

Nurul Huda Abhar

PRN Sabah | Rundingan antara Umno dan Bersatu dalam soal pembahagian kerusi penting bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata menerusi rundingan itu parti lebih kuat perlu diberikan laluan untuk bertanding.

“Bersatu boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu. Itu hak mereka, cubalah… Barisan Nasional (BN) juga begitu.

“Namun kalau mahu ‘straight fight’ lawan Warisan, tentu kena berunding dan pastikan parti yang lebih kuat kita beri laluan untuk bertanding,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata parti tersebut sedia bertanding 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenyataan Hajiji itu dibidas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang menasihati beliau supaya ‘jangan bermimpi’.