MFL benar aksi pemanas badan

MFL benar aksi pemanas badan

Malaysian Football League (MFL) hari ini membenarkan pasukan Liga Super dan Liga Premier mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang bersambung 26 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata aksi terbabit hanya boleh dilangsungkan di venue yang telah menjalani proses nyahkuman.

“Pasukan hanya dibenar mengadakan perlawanan antara pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier 2020 yang mana pegawai dan pemain telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan disahkan bebas gejala serta mendapat kelulusan MFL.

“Atau dengan pasukan-pasukan yang mereka telah bertemu di perlawanan di peringkat awal sebelum Liga Malaysia ditangguhkan.

“Perlawanan hanya dibenar diadakan dalam stadium atau venue perlawanan sahaja di mana gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Ab Ghani, perlawanan tersebut hendaklah berlangsung tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan.

Beliau mengesahkan beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan.

“Pasukan terawal yang mengadakan perlawanan persahabatan adalah Selangor menentang Pulau Pinang di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada Rabu ini.

“Disusuli UiTM FC menentang Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam dan Kelantan United FC menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu di mana kedua-dua perlawanan itu berlangsung pada 7 Ogos ini,” katanya.