PAS sokong Pahang perkasa tulisan Jawi

PAS sokong Pahang perkasa tulisan Jawi

Nurul Huda Abhar

PAS menyokong tindakan kerajaan negeri Pahang memperkasakan tulisan Jawi pada papan kenyataan dan premis perniagaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata syarat tersebut mempamerkan usaha untuk memartabatkan lagi tulisan Jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara.

Katanya, usaha memartabatkan tulisan Jawi juga mampu mengeratkan kembali pembentukkan negara yang bermula daripada permuafakatan menerima agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Banyak bangsa di dunia telah kehilangan tulisan, bahkan budaya dan adat resam mereka.

“Dengan ini mengukuhkan semula asas pembentukan Malaysia yang dibina atas permuafakatan menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejarah membuktikan ketika era penjajahan atau sebelumnya, perjanjian utama, surat rasmi dan setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja telah ditulis dalam tulisan Jawi.

“PAS melahirkan kebimbangan ini sejak penyata Khir Johari sekitar 1960-an yang memansuhkan penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara.

“Mereka yang menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara,” ujarnya lagi.

Tuan Ibrahim turut menyatankan semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan Jawi seperti Pahang, bermula di papan tanda premis dan jalan.