Roadcare kutip sampah, netizen kesal

Roadcare kutip sampah, netizen kesal

Nurul Huda Abhar

Situasi musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya utama dan kesesakan lalu lintas berikutan warga kota pulang ke kampung.

Tambahan pula kebanyakan mereka tidak berpeluang menyambut Aidilfitri lalu di kampung halaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, sikap pengguna jalan raya yang mengambil mudah membuang sampah merata-rata ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) dan bahu jalan mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Satu paparan gambar yang tular di laman sosial menunjukkan sampah sarap bekas makanqn dan minuman ditinggal pengguna jalan raya di bahu jalan, malah terdapat kakitangan penyelengaraan terpaksa mengutip sisa-sisa tersebut.

Perkongsian di laman sosial Twitter milik Roadcare BentongRaub memaparkan situasi sebenar yang terpaksa mereka hadapi jika terdapat peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya.

“Team Roadcare mengutip sampah yang dibuang di bahu jalan.

“Mohon kita semua bersama jaga kebersihan persekitaran kita,” tulisnya dalam ciapan tersebut.

Rata-rata netizen menyelar tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya dan melahirkan rasa simpati kepada kakitangan penyelenggaraan tersebut.

Antara komen-komen yang ditulis, “Otak diorang ni dengan sampah sama je. Buanglah otak tu kalau tak reti guna,” kata Loqmanulawal.

“Setiap tahun macam ni. Rasanya semua bersekolah. Antara perkara pertama yang diajar buang sampah ke dalam tong sampah. Siap bawa ke tong sampah dan tunjuk. Kenapa macam ni Malaysia?,” tulisan daripada U_haelladum.

“Malaysian are the best when it comes to this. I struggle on daily basis cleaning my neighborhood,” komen Afiqeffendi.

“Tu la dah nasihatkan kerajaan jangan dibenarkan lagi rentas negeri,” tulis Mark.

Diharapkan agar sikap membuang sampah merata-rata ini boleh diubah kerana ia boleh mencemarkan imej masyarakat di mata pihak luar sekali gus mencerminkan peribadi sesetengah individu itu sendiri.