Tolak rasuah, elak anak cucu jadi mangsa – Tun M

Tolak rasuah, elak anak cucu jadi mangsa – Tun M

Amalan rasuah akan menyebabkan negara hancur dan anak cucu kita menjadi mangsa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berikutan itu, bekas Perdana Menteri berkata adalah penting bagi rakyat Malaysia memiliki nilai-nilai mulia jika mahu negara berjaya.

“Kita amanah, tidak mungkir janji, bekerja keras. Kalau ada nilai hidup ini, percayalah kita akan dapat kejayaan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara dalam talian, ‘Mengopi Malam Minggu’, malam tadi.

Dr Mahathir berkata kegagalan mengamalkan nilai-nilai mulia, misalnya terlibat amalan rasuah mungkin memberi keuntungan jangka pendek, tetapi akan mengorbankan generasi masa depan.

“Saya berkali-kali ulang perkara ini tapi masing-masing tak nampak kesan masa depan. Kesan hari ini mungkin tak sama.

“Umpamanya kita dihulurkan sogokan rasuah, waktu ini kita dapat dan kita mungkin rasa kita untung.

“Tapi bangsa kita mudah disogok rasuah. Percayalah negara kita akan hancur dan kita akan jadi mangsa. Anak cucu kita akan jadi mangsa,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata rakyat Malaysia tidak akan berjaya tanpa mengamalkan nilai-nilai mulia iaitu rajin bekerja, beramanah, tidak rasuah, tolak benda tidak baik dan tidak mencuri.

“Kalau kita tolak benda yang tak baik, (ambil) hanya yang baik, Malaysia akan jadi negara maju dalam jangka masa yang pendek,” katanya.