13 Adun tukar haluan wira Sabah, kata Annuar Musa

13 Adun tukar haluan wira Sabah, kata Annuar Musa

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang menukar haluan adalah wira Sabah kerana telah cuba menyelamatkan negeri itu, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menulis ciapan itu sebagai menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan 13 Adun Sabah yang berpaling tadah akan dihukum oleh rakyat negeri itu kerana tidak boleh dipercayai.

“Mereka (13 Adun) yang menukar haluan adalah wira-wira Sabah yang telah mencuba menyelamatkan Sabah dari terus diseret oleh politik kepentingan diri dan kroni yang kini menyebabkan Sabah makin mundur,” tulis Annuar menerusi Twitter.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata tindakan 13 Adun Sabah yang berpaling tadah menyokong pembangkang di negeri itu adalah contoh rasuah sangat buruk.

Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat Sabah akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana mereka tidak boleh dipercayai.

Krisis politik Sabah mencapai kemuncak apabila bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Khamis lalu.