Azmin, Guan Eng panaskan dewan isu CPTPP

Azmin, Guan Eng panaskan dewan isu CPTPP

Keputusan kerajaan sama ada mahu meratifikasi CPTPP atau sebaliknya cetuskan ketegangan antara Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, hari ini.

CPTPP adalah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik.

Ketegangan tercetus apabila Mohamed Azmin (Bersatu-Gombak) menyentuh isu berkenaan ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketika pergulungan Mohamed Azmin, Guan Eng (DAP-Bagan) bangun mencelah dan mempertikaikan kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bersetuju supaya meratifikasi CPTPP.

Beliau mendakwa Kabinet dulu tidak setuju meratifikasi kerana tidak setuju campur tangan luar ke dalam urusan dan perdagangan di Malaysia.

“Jadi tidak betul jika Menteri kata kerajaan dahulu setuju untuk meratifikasi. Itu tidak betul, malah (Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika itu) tidak setuju dan direstui oleh Kabinet,” katanya.

Mohamed Azmin kemudian memberitahu bahawa perkara itu pernah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu berdasarkan minit mesyuarat pada 5 September 2018.

Bagaimanapun, jawapan diberikan Ahli Parlimen Gombak itu dibantah keras Guan Eng dan meminta beliau merujuk kepada keputusan kerajaan PH yang terbaharu serta mendapatkan pengesahan daripada bekas menteri MITI.

Mohamed Azmin pada pergulungan itu berkata, MITI bersama Jabatan Peguam Negara dan kementerian berkaitan dalam proses untuk sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi meratifikasi CPTPP.

Katanya, persetujuan pada 5 September 2018 tidak menetapkan sebarang tempoh untuk proses domestik dimuktamadkan bagi meratifikasi perjanjian berkenaan.

“Justeru, kerajaan perlu memastikan keputusan berkaitan CPTPP perlu mengimbangi keperluan dan kepentingan negara, industri tempatan dengan pelabur asing,” katanya.