Filipina laksana semula sekatan pergerakan lebih ketat

Filipina laksana semula sekatan pergerakan lebih ketat

[Dunia] Filipina akan melaksanakan semula sekatan pergerakan lebih ketat di sekitar ibu negara mulai esok, berikutan jangkitan Covid-19 meningkat lebih 100,000 kes.

Presiden Rodrigo Duterte meluluskan penempatan Metro Manila dan wilayah-wilayah berdekatan seperti Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan di bawah ‘Kuarantin Komuniti yang Dipertingkatkan (MECQ)’ sehingga 18 Ogos, kata jurucakap, Harry Roque kepada wartawan.

Beberapa perniagaan dan pengangkutan awam dijangka ditutup di ibu kota, ketika ini diklasifikasi di bawah Kuarantin Komuniti Umum kurang diperketatkan.

Kerajaan juga memperkenalkan pas perjalanan kerja dan kuarantin dalam usaha menyekat pergerakan.

Langkah itu dilaksanakan selepas 80 kumpulan yang mewakili 80,000 doktor dan sejuta jururawat meminta kawalan ketat dilaksanakan semula.

Menurut mereka, Filipina tidak melaksanakan kawalan menangani Covid-19 dengan langkah lebih ketat.

Filipina merekodkan 5,032 kes jangkitan tambahan pada Jumaat lalu, kenaikan sehari paling tinggi menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 103,185 manakala jumlah kematian bertambah 20 kes kepada 2,059.

Filipina merupakan negara kedua jangkitan dan kematian tertinggi Covid-19 di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Foto kredit Coconut Manila